Saya sayangkan awak

Daisypath Friendship tickers

My Follower

Thursday, May 5, 2011

PerEmpUan Itu


"AIDS?" Aku mengulang kata Kak Long. Hati bagai tidak percaya. Tidak mungkin orang sebaik Ain menghidap penyakit itu. Namun, takdir Allah siapa yang tahu?
"Ya. Dia menghidap penyakit tu dah lama dah. Ni kira tunggu masa malaikat maut nak jemput dia masuk kubur je!" Suara sinis Kak Long menyapa gegendang telinga. Ku kerutkan dahi. Serasa ada sesuatu dalam nada suara Kak Long. Wajah Kak Long kurenung dari ekor mata.
"Kak Long kenal Ain di mana?" Tenang kulontarkan persoalan. Kak Long menghela nafas panjang.
"Dia datang jumpa Bang Long kamu beberapa tahun lepas. Cerita pasal masalah dia. Keluarga dia dah buang dia. Dia tu anak orang berada. Ayah dia berpangkat Tan Sri. Tapi tu lah kan, duit, harta, pangkat kalau dah banyak sangat mulalah lupa akhirat. Tu yang kena AIDS tu. Memang sahlah sosial sangat. Habis semua tergadai. Memang perempuan yang tak elok. Buat malu keluarga je. Lepas tu datang ke sini. Hish. Habis budak-budak yayasan ni nanti terpengaruh pula dengan dia!" Kak Long mencebirkan bibir.
Kulihat wajah Kak Long. Apakah itu hanya serkap jarang? Tidak mungkin Ain orang yang sebegitu. Walaupun tidak pernah berbicara dengan gadis itu, tapi aku yakin Ain tidak sejahil itu. Bimbang Kak Long hanya mengagak, aku meringankan mulut untuk bertanya.
"Mana Kak Long tahu Ain tu macam tu? Kak Long pernah tanya dia ke?"
Kuali besar yang usai dibasuh dihempas Kak Long. Aku mendiamkan diri. Amarah Kak Long seperti tidak bersebab! Namun, andai dilawan hanya membawa kepada musim kemarau nan panjang. Mungkin saja hubungan aku dan Kak Long pula yang renggang. Suara tegas Kak Long mula kedengaran.
"Yang kamu ni nak back up dia kenapa? Pernah ke kamu bercakap dengan dia? Pernah? Org yang dapat AIDS ni, tak lain tak bukan sebab buat benda-benda yang haram tau tak? Yang bukan-bukan. Si Ain tu ingat.. datang yayasan ni.. elok tudung labuh semua, orang nak pandang dia dah insaflah? Tolonglah. Abang Long kamu bolehlah tertipu dengan tipu helah dia. Kalau Kak Long, sorry!" Lantangnya suara Kak Long mengisi segenap penjuru. Mulut ku terkunci rapat. Keberanian untuk mempertahankan Ain datang sekejap cuma. Wajah ku ditundukkan. Tekun aku menyusun pinggan mangkuk di rak susunan. Walhal, hatiku bersimpang siur memikirkannya.
"Kak Long tak nak tengok kamu berkawan dengan dia. Bercakap pun jangan,"ujar Kak Long sambil mengatur langkahnya ke halaman rumah. Aku membisu. Mengiya tidak. Menidakkan jauh sekali. Lima tahun mengenali Kak Long, amarah Kak Long jangan dipandang remeh. Hanya saja kali ini, aku rasakan pandangan Kak Long kurang tepat.
Aku yakin Kak Long tidak membuat pertimbangan yang wajar. Tidak pernah kulihat Kak Long melayan Ain sebagaimana dia melayan anak-anak yayasan yang lain. Dengan Ain, sering dia bermasam muka. Lagi-lagi andai Bang Long cuba membantu Ain dalam apa-apa jua urusan. Lagilah menjadi-jadi sikap Kak Long. Aku tahu. Sebetulnya Kak Long cemburu dengan kemesraan Bang Long. Walau berkali-kali Bang Long menjelaskan, saudara seagama perlu ditolong, bukan dicaci, dihina. Kalau bukan kita yang menolong, siapa lagi?
Sejenak aku teringat kisah benar yang dibaca dari sebuah blog milik rakan usrah. Dia menulis, ketika dia kecil dia pernah bersekolah pondok. Suatu hari, seorang pelacur datang ke pondok itu. Meminta pertolongan. Namun, tidak ada seorang pun yang menolong. Pelacur itu dicaci, dihina malah dibaling batu. Kononnya dialah manusia paling berdosa dalam kampung itu. Sedangkan, yang menentukan dosa pahala seorang muslim bukanlah seorang muslim yang lain tetapi Allah s.w.t. Sayang, tidak ramai yang menyedari hakikat ini. Dan pelacur itu? Dia berputus asa. Terasa tidak ada lagi yang mahu menolongnya. Mujurlah seorang ustaz keluar, dan mempelawanya masuk. Syukur, masih ada yang mahu menolong. Dan akhirnya? Anda sendiri tahu kesudahannya.
Sambil fikiranku melewati memori sepi itu sendirian, perlahan telingaku menangkap gemersik suara seorang perempuan. Ku toleh ke tepi. Ya Allah! Ain! Apa yang harus ku buat? Baru sahaja tadi amaran Kak Long ku terima, baru sahaja beberapa minit aku terus diuji. Ku jawab salam itu perlahan. Wajah Ain ku tatap. Benarkah dia pernah membuat onar? Tersedar wajahnya direnung ku, dia menoleh. Bibirnya tersenyum. "Manis!" desis hati kecilku.
"Adik angkat Abang Rahman dan Kak Salwa kan?" perlahan Ain menuturkan bicara.
"Ya." Aku menjawab ringkas. Kerja kuteruskan. Aku bingung. Berbicara atau tidak?
Ku lihat Ain sedang mengambil bakul. Kunci pintu belakang yayasan diambil. Dan langkahnya diatur ke taman. Dan hati kecil ku berbicara.
+Bukankah ini peluang baik? Taman dan halaman rumah sangat jauh. Aku bebas untuk berbicara dengan Ain tanpa pengetahuan Kak Long.
- Jangan! Andai Kak Long tahu, nahas!
+Tidak! Aku harus tahu hal sebenar. Dan ini juga untuk kebaikan Kak Long. Lagipun, aku tidak mahu bersangka buruk.
-Risikonya tinggi!
+Aku harus pergi!
-Jangan!!
Aku berperang dengan diriku sendiri!
Akal sedarku melarangku pergi. Namun rasa hatiku tidak. Lantas ku atur langkah ke arah Ain. Dia sedang memetik bunga-bungaan. Aku berdehem. Untuk memaklumkan kedatanganku. Ain menoleh. Aku dapat rasakan mataku merenung setiap inci wajah Ain. Di sini, di bawah terik mentari nan suci, ciptaan Yang Maha Agung, baru aku mengerti maksud Kak Long.
Wajah Ain pucat. Dan serinya juga sudah hilang. Di dalam yayasan, lampu tidak dipasang. Mungkin, itulah punca utama aku tidak menyedari perubahan wajah Ain. Lama kami berpandangan, sebelum Ain menghela nafas panjang. Wajahnya dilanda kegusaran.
"Lebih baik awak masuk. Kak Salwa tak suka sesiapa pun rapat dengan saya." Perlahan Ain berbicara. Dan dia memalingkan badannya kembali. Tekun dia memetik bunga-bungaan. Dan langkahnya ku ekori rapat. Menyedari aku masih mengekorinya, Ain kembali menghadapku.
"Saya pesakit AIDS". Nadanya serius. Dan aku faham, dia mahu aku menjauhinya. Namun ku tegarkan diri. Persoalan itu harus dijawab hari ini.
"Jadi?" Pernyataan dilontarkan persoalan. Kerut seribu muncul di dahi Ain.
"Lebih baik awak masuk." Ain bersuara. Lemah.
"Saya pun nak petik bunga jugak!" Aku membalas. Bakul di tangan Ain ku ambil. Bunga ros merah ku petik. Di belakangku Ain tersenyum.
"Terima Kasih".
Aku diam. Tidak tahu respons apa harus ku berikan.
"Awak orang pertama."
Oh! Aku mengerti ucapan terima kasih tadi untuk apa. Dan Ain kembali memetik bunga ros lalu dimasukkan ke dalam bakul. 5,10 dan hampir 15 minit, kami diam. Hanya riuh rendah yayasan memenuhi ruang sepi kami. Aku tidak tahu bagaimana harus ku mulakan bicara. Kerana soalan yang akan ditanya mungkin juga menoreh kembali luka lama.
"Apa soalan awak?" Ringkas Ain bertanya. Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah. Namun jelas ku lihat ada kesediaan di situ. Kesediaanya untuk menjawab semua persoalan. Namun tegarkah aku?
"Awak nak tahu samada saya buat perkara terkutuk atau tidak? Dalam erti kata lain, macam mana saya dapat AIDS?" Tenang Ain berbicara.
"Macam mana..." Ayat itu tak mampu aku habiskan. Bagaimana mungkin? Ku lihat Ain merenung jauh. Dan penyesalan mula bertapak di sudut hati. Arghh! Bodohnya aku! Bukankah ini isu sensitif?
"Kerana setiap orang akan bertanya soalan itu. Dan usai bertanya, mereka mula menjauhkan diri. Tapi saya lega, sekurang-kurangnya ada yang bertanya. Daripada mereka hidup dengan spekulasi mereka sendiri."
Pantas. Wajah Kak Long menerpa fikiran.
Sepi menyelubungi diri. Kaku. Ain terus menyusun jambangan bunga ros ke dalam bakul. Dan aku. Masih menunggu.
"Islam jatuh kerana sikap penganutnya sendiri,"ujar Ain. Aku memandang Ain. Pandangan kami bertaut. Dan untuk seketika kurasakan bagai sudah lama aku kenali dia. Dan jauh di sudut hati, aku iyakan bicaranya sebentar tadi.
"AIDS yang saya hidapi, bukan disebabkan pergaulan saya, mahupun seks bebas,"kata Ain tegas.
Aku terpana. Sah! Kak Long salah faham.
"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berada. Segala kemahuan saya mampu ibu bapa saya penuhi. Sayangnya, saya tidak pernah disayangi sebagaimana adik-beradik saya yang lain. Hanya kerana abang meninggal sejurus selepas kelahiran saya. Jadi, saya dianggap pembawa sial." Perlahan lipatan sejarah hidup Ain dibuka. Satu demi persatu. Hairan, walau sebesar itu dugaan, Ain masih mampu menceritakannya dengan tabah. Sudahnya, kami beriringan menuju ke kerusi kayu di tengah taman. Di situ, baru aku mengerti, siapakah Ain yang sebenar.
"Dahulu, saya tidak tahu apa-apa tentang Islam. Ibu dan ayah saya tidak pernah ambil berat akan ilmu agama. Saya membesar dalam keadaan jahil. Malah, fikiran saya bercelaru. Saya sering memberontak. Saya sering bertanya pada mama. Untuk apa saya pakai tudung? Bukankah kecantikan wanita layaknya dipandang oleh sang teruna? Bukankah Islam menghalang hak  wanita? Jadi untuk apa saya memeluk agama ini? Agama Islam yang menghalang kebebasan penganutnya untuk mengamalkan apa yang mereka suka? Itu tak boleh, ini tak boleh. Malah, untuk bercinta sekalipun dilarang. Bagi saya, Islam hanya mempertaruhkan nasib penganutnya sendiri. Layakkah agama itu kita agung-agungkan?"
Aku mendengar setiap patah bicara Ain. Buntu. Fikiranku kelam.
"Saya kerap membahaskan isu ini bersama rakan-rakan. Sasaran saya ialah mereka yang kuat dengan pegangan Islam. Saya beritahu pendapat saya. Saya terangkan pendirian saya. Dan awak tahu apa yang berlaku?" Mata Ain diarahkan padaku. Meminta jawapan. Aku menjengketkan bahu. Sungguh. Tidak aku sangka seteruk itu Ain pada waktu dahulu.
"Mereka mencaci saya. Ada yang mengatakan saya akan murtad selama-lamanya. Malah ada yang mengatakan jalan pulang untuk saya tiada lagi. Ada yang menyimbah saya dengan air longkang. Alasannya, demi Agama Islam. Mereka menghukum saya. Ini meningkatkan kebencian saya terhadap Islam. Semakin hari, sinar itu makin jauh. Kebencian yang saya bina semakin memuncak. Di kolej, rakan-rakan seagama mula menjauhi saya. Namun, saya masih dengan pendirian saya. Sehinggalah pada suatu hari, Allah mempertemukan saya dengan Aisyah." Mata Ain mula digenangi air mata. Seolah-olah, perkara itu membuatkannya terharu amat.
"Ketika saya nekad dengan pendirian saya, Aisyah hanya tersenyum. Buat pertama kalinya, tidak ada yang mencebir bibir, tiada pandangan sinis, hanya senyuman. Dan Aisyah menerangkan pada saya sesuatu. Andai tidak kenal masakan kita boleh mencintai sesuatu? Dan sejak itu, Aisyah memberi saya beberapa buku agama. Namun tidak pernah saya sentuh, Tafsir al-Quran yang diberinya saya letakkan di bawah katil. Bukankah ia hanya buku biasa? Untuk apa kita menghormatinya?" Dan Ain tersenyum. Ah! Manis sungguh senyumanmu Ain. Walau wajahmu pucat lesi.
"Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Allah s.w.t berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku".
"Selama ini, kesilapan saya ialah berburuk sangka dengan Allah. Saya tidak mengenalinya. Saya tidak selidiki siapa Dia Maha Pencipta saya, dan terus sahaja saya bina konklusi. Dan akhirnya, saya terjumpa firman Allah. Walau hidayah itu milik Allah, namun ia takkan datang kalau tidak dicari. Kerana hidayah-Nya ialah sesuatu yang sangat bernilai. Mampu menjadi pelita dalam kegelapan. Menukarkan kelemahan menjadi kekuatan. Paling penting, memberikan kegembiraan tatkala hati menangis kesedihan!" Tegas Ain menuturkan bingkisan ayatnya. Aku tersenyum. Tapi, masih ada dua persoalan yang masih belum dijawab. Apakah aku harus bertanya padanya sekarang juga?
"Ain.." Aku memberanikan diri. Sekilas, kulihat wajah Ain bertentangan dengan wajahku.
"Awak masih belum jawab soalan saya." Wajah Ain tidak berani ku tatap. Aku mnguis-nguis pasir di kaki.
"Saya dijangkiti AIDS kerana dendam kesumat sahabat ayah."
Sepi. Apakah itu benar?
"Sahabat ayah seorang doktor. Ketika itu, saya kemalangan yang menyebabkan kehilangan darah yang amat banyak. Doktor tersebut tanpa disedari telah melakukan blood transfusionkepada saya. Dia telah memberikan darah pesakit AIDS. Tatkala saya disahkan menghidap penyakit itu, ayah tidak mengaku saya anaknya lagi.
Baginya, saya mencemarkan nama baik dan reputasi keluarga seorang Tan Sri. Dia menuduh saya dengan bermacam-macam tuduhan yang tidak sepatutnya keluar daripada bibir seorang ayah. Mama menangis. Seluruh ahli keluarga menuduh imej baik saya hanya satu topeng untuk saya melindungi perbuatan jahat saya. Akhirnya, saya dihalau sehelai sepinggang. Aisyah yang mencadangkan saya untuk ke sini."
"Awak tak pernah menyesal?"
Dia tersenyum lagi. "Untuk apa? Mereka yang melakukan kesalahan kepada saya telah saya maafkan. Mereka masih jahil. Mungkin juga kesalahan mereka pada saya yang akan membuka pintu hati mereka untuk bertaubat. Siapa tahu? Bukankah masa lalu itu amat mustahil untuk digapai? Masa hadapan pula sesuatu yang misteri. Saya bersyukur dengan apa yang terjadi. Ada hikmah di sebalik kejadian. Di ceruk lain di dunia, masih ada insan yang lebih hebat ujiannya dari saya. Husnu Zan (sangka baik) kepada Allah. Mungkin, ini ialah balasan Allah terhadap dosa saya pada masa lalu. Saya tahu, saya yakin, Allah sangat-sangat sayangkan saya.. kerana itu, sabar saya, pasti akan dapat saya tuai hasilnya!"
Aku berfikir sendiri. Cinta Ain pada-Nya besar amat! Benarlah, sesuatu yang susah dimiliki, akan lebih kita hargai. Ain menempuh ranjau yang berduri, demi kasih-Nya pada Illahi. Kini, bukankah dia bahagia? Walau pada pandangan manusia, dialah yang paling terhina. Cinta pada Allah, mampu menukar yang hina menjadi mulia. Ain, sungguh aku kagum denganmu.
"Cuma apa yang saya sesalkan ialah sikap saudara seagama kita,"Perlahan suara Ain kembali memenuhi ruang sepi.
"Tatkala melihat saudara seagama yang lalai, yang mempermudahkan Agama Islam, sering sahaja pandangan sinis dilontarkan. Menghujani mereka dengan cacian. Sedangkan kebanyakan daripada mereka ini tidak tahu. Masih jahil. Dan tugas kita, sebagai khalifah untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Sepertimana saya, andai Aisyah tidak membimbing saya, tidak sabar dalam melayani karenah saya, sudah tentu saya masih lagi seperti dahulu. Dan saudara seagama yang mencaci saya, tidakkah mereka sedar, Islam ialah agama yang menidakkan kekerasan. Islam ialah agama yang sarat dengan kasih sayang dan cinta. Andai mereka kenal semua ini, sudah tentu Islam tidak kecundang. Kes penzinaan tidak akan menular. Malangnya, hanya segelintir yang mahu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang khalifah. Sayang. Allah s.w.t pasti kecewa dengan kita.."
Aku dapat rasakan bening mataku kian panas. Dan air jernih mula mengalir dari sudut mata. Benar. Aku juga seperti golongan itu. Melihat saudara seagama kian melupakan hijab, aku pandang sinis. Terasa diri sudah terlalu baik, sedangkan tugas sebagai khalifah aku abaikan. Ghibah juga sering kulakukan. Ya Allah. Aku benar-benar diberi pengajaran. Seketika aku dan Ain melayan perasaan masing-masing. Sesekali Ain terbatuk. Dan sedang aku berkira-kira mahu mengajaknya masuk ke yayasan, suara keras Kak Long mengejutkan aku dari lamunan yang panjang.
"Amira!" Getar suara Kak Long sarat dengan ketegasan, bercampur dengan kemarahan yang amat.
Ain memandangku dengan riak risau yang ketara. Aku tersenyum.
"Benarkan saya lakukan tugas khalifah saya yang pertama untuk hari ini." Aku berbicara tenang.
Ain mengerutkan dahi. Tidak mengerti.
Aku berpaling. Langkahku atur ke arah Kak Long.
Kak Long bagai singa betina. Kemarahannya kerana aku melanggar larangan. Aneh. Tidak ada perasaan takut dalam benakku. Sekilas terngiang-ngiang suara Ain.
Ya! Aku harus ubah sikap Kak Long. Husnu Zan, kan Ain?
Dalam hati aku berdoa, "Ain semoga pertemuan hari ini mampu membina ukhuwah yang menemukan kita di syurga-Nya yang abadi!"

0 comments: